Definisi dakwah
Dakwah merupakan satu proses penyampaian yang biasanya dikaitkan dengan ilmu agama, yang bukan bertujuan untuk lulus dalam mana-mana ujian atau peperiksaan duniawi, sebaliknya bertujuan membentuk amalan kehidupan berlandaskan jalan yang lurus.

Tujuan dakwah
Seseorang itu biasanya berdakwah untuk satu tujuan, iaitu mengumpul bekalan kepada diri sendiri untuk hari akhirat kelak.

Secara terperinci, seseorang itu berdakwah untuk mencari petunjuk, membentuk keimanan yang kukuh dalam diri, serta untuk kebahagiaan dan kesejahteraan diri sendiri.

Kebiasaan perjalanan dakwah

Tujuan yang satu itu menyebabkan seseorang yang berniat murni itu berdakwah dengan bertubi-tubi, kepada sesiapa sahaja yang ditemui, tanpa mengira tempat dan waktu, serta minat orang yang didakwah itu terhadapnya.

Baginya yang penting dia dapat lakukan, untuk bekalan bagi dirinya. Tanpa disedari bekalan yang dikumpul akhirnya membawa kepada 2 keadaan, kekecewaan atau keangkuhan diri.

Kekecewaan
Perasaan kecewa berlaku apabila suatu masa dia merasai bahawa tahap keimanannya tidak bertambah, melainkan penat dan lelah sahaja.

Keadaan sebegini tidak begitu dibimbangi sekiranya berlaku ke atas seseorang. Dia mungkin perlu menukar teknik dakwahnya, supaya lebih berhasil, terutama terhadap dirinya sendiri.

Punca kegagalan dakwah

Keangkuhan diri
Manakala keangkuhan diri berlaku apabila dia merasakan imannya telah tepu dan tidak ada sesiapa yang lebih baik daripada dirinya. Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya berlaku ke atas diri kita.

Apabila terselit keangkuhan di dalam jiwa, sukar untuk diperbetulkan. Nasihat orang lain tidak lagi diterima. Apabila musibah melanda dirinya, dirasakan dugaan daripada Allah. Manakala apabila musibah melanda orang lain, dikatakan bala yang menimpa orang-orang yang tidak beriman.

Apabila dirinya memperoleh rezeki yang melimpah ruah, dirasakan Allah menyayanginya. Apabila orang lain memperoleh rezeki yang melimpah ruah, dikatakan Allah sengaja mencuba orang tersebut.

Nauzubillah, ya Allah jauhilah aku daripada keadaan seperti ini, amin.

Punca kegagalan dakwah
Sekiranya dakwah yang dijalankan tidak memberi kekuatan tambahan terhadap keimanan kita kepada Allah s.w.t, cuba berikan suntikan baru terhadap proses dakwah yang kita jalankan.

Sekiranya dahulu (sebagai contoh) kita pantang terjumpa kawan lama. Selepas bersalaman dan bertanya khabar, terus memperkatakan kebesaran Allah. Cuba lihat semula proses yang kita lakukan.

Apakah tujuan kita? Apakah hasilnya? Adakah kawan anda tersebut seakan-akan tidak memberi respon? Atau respon yang diberikan sekadar menjaga hati anda? Atau menukar tajuk perbualan? Atau beredar dan menjauhkan diri mereka dari diri anda?

Lihat semula tujuan kita berdakwah. Tujuan kita adalah untuk mencari keimanan. Mencari keimanan adalah satu proses yang sukar. Kesabaran mesti dipupuk, kekuatan dalaman mesti dibaja, etika mesti dijaga, batas pergaulan mesti diteliti.

Itulah iman. Dengan melalui proses-proses tersebut, sinar keimanan akan hadir dengan sendiri, tanpa perlu dipaksa, tanpa perlu dibuat-buat, tanpa perlu dicari-cari.

Ukurannya di dunia ini, semakin ramai orang mendengar dakwah kita, semakin baiklah kita. Semakin orang menjauhi kita, bermakna ada lah yang tak kena dengan diri kita.

Perlu diingat, dakwah bukan ceramah. Ceramah yang mantap memang sentiasa dibanjiri manusia. Tambahan pula yang ada unsur-unsur jenaka serta tidak membosankan.

Sebaliknya dakwah ini adalah suatu proses yang membosankan dari segi penyampaian, lurus dan melata.

Kerana, majlis ilmu yang dipenuhi gelak ketawa itu sebenarnya adalah kesukaan syaitan, dan tidak diberkati.

Wallahu a’lam...
dipetik dari http://soleh.net